Monday, September 24, 2012

Wahai pemilik hati..pemilik segala cinta

Wahai pemilik langit dan bumi
Sedarkan aku bahawa bahagia itu bukan pada sebentuk cincin yang bernilai beribu ringgit
Sedarkan aku bahawa bahagia itu bukan diukur pada sebesar mana batu permata
Bahagia itu pada merasa cukup apa yang ada
Bahagia itu pada nikmat bersyukur dengan segala kurniaan
Bahagia itu ada pada-MU
Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kaya dan Maha Pemberi
Wahai pemilik takdirku
Didiklah aku untuk senyum dikala secalit duka hinggap dijiwa
Didiklah aku untuk mensyukuri hadirnya tangisan dalam ketawa
Didiklah aku mengerti bahawa takdir ini diatur dengan bijaksana
Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Merancang lagi Maha Mengetahui
Wahai pemilik hatiku
Tetapkanlah hatiku pada jalan-Mu
Luruskan niatku hanya kerana-Mu
Dekatkan ia dengan-Mu, rapatkan ia pada-Mu
Mudahan ia tenang walau dilanda badai
Jangan Kau biar ia alpa mengakui  keesaan-Mu
Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Berkuasa
Wahai pemilik segala cinta
Ajarkan aku untuk mencintai-Mu melebihi segala cinta yang ada
Kurniakan aku cinta yang membawaku dekat dengan-Mu
Kurniakan aku cinta yang bersemi hanya dengan nama-Mu
Suburkan cintaku pada ikatan bersaksikan-Mu
Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
petang selepas hujan, kg lebu..bentong pahang...

2 comments:

Anonymous said...

minta share bait2 di atas.

Anonymous said...

:) bait indah, seindah laluan hati sekian lama.....

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...